8 Februari 2012

Jumaat Yang Pilu

Assalamualaikum !
Ini adalah kisah benar , harap dijadikan tauladan .

Hujan renyai-renyai turun pagi Jumaat itu . Seperti kebiasaan saya bersiap-siap untuk ke tempat kerja di Putrajaya . Sebaik sahaja menghidupkan enjin kereta , saya terlihat lampu amaran penanda aras minyak petrol sudah mula menyala kemudian ia padam semula .

Ini menandakan minyak petrol sudah mula kekeringan tetapi saya yakin masih cukup lagi untuk meneruskan perjalanan dari Semenyih ke Putrajaya . Saya pun terus meluncurkan kereta memulakan perjalanan . Sepanjang pemanduan , hati saya terasa lain betul . Rasa was-was mula menyinggah di segenap sudut hati dan fikiran . Entah kenapa fikiran tiba-tiba menjadi gusar dan tak keruan .

"Barangkali aku risau takut minyak petrol tak sempat sampai ke Putrajaya agaknya .." bisik hati kecil saya .

Oleh kerana gusar yang teramat sangat , saya mengalah . Saya singgah juga di sebuah stesen minyak berdekatan . Setelah selesai mengisi minyak , saya meneruskan perjalanan ke Putrajaya . Sebaik sahaja tiba di jalan keluar stesen minyak tersebut , saya terus memecut kerana menyedari telah terlambat .

Tiba-tiba ... dari sayup mata saya terpandang satu objek yang bergerak-gerak seperti beg plastik sampah yang berterbangan ditiup angin di tengah-tengah jalan . Kelihatan juga ada sebuah motosikal telah melanggarnya . Objek itu berguling-guling lalu bergerak semula . Saya kini semakin menghampiri objek tersebut dengan hati yang amat tak keruan .

Dada berdebar-debar , mata saya hanya tertumpu ke arah objek tersebut dan mula syak sesuatu yang buruk sedang berlaku . Apa yang saya jangka adalah tepat . Rupa-rupanya objek yang digilis oleh motosikal tadi ialah seekor anak kucing yang sedanh mengesot-ngesot untuk menyelamatkan diri . Nyaris saya menggilisnya juga .

Semasa kereta saya sedang melangkaui tubuh si comel itu , saya cukup terharu dan amat  sedih . Saya melihat dengan mata kepala saya sendiri bagaimana si comel itu tetap tabah mengesot berusaha melintasi jalan raya yang sibuk di hadapan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Semenyih .

Sepantas kilat saya membuka lampu amaran dan memarkir kereta di atas bahu jalan walaupun telah terlajak kira kira 30 meter . Tanpa berfikir panjang , saya meluru ke tengah-tengah jalan raya tersebut sambil melaungkan takbir apabila melihatkan beberapa kenderaan hampir saja menggilis kepala anak kucing itu .

Sepantas kilat , saya berlari untuk mendapatkan si comel yang mengesot-ngesot tadi dengan air mata yang berlinangan . Sambil melambai-lambai tangan , saya jerit kepada pemandu-pemandu kenderaan agar berhenti , malangnya masih ada pemandu yang mementingkan diri sendiri .

Mereka sudah nampak anak kucing tersebut mengesot di hadapan kereta mereka tetapi masih tergamak hendak melanggar lagi . Lantas saya menunjukkan isyarat jari telunjuk dan merenung tepat ke arah seorang pemandu sambil bertinggung untuk memungut anak kucing tersebut .

Pemandu tersebut kelihatan berang dengan perbuatan saya kerana mengganggu perjalanannya tetapi saya peduli apa semua itu . Apa yang saya fokus ketika itu ialah perlu menyelamatkan nyawa anak kucing tersebut daripada dilenyek kereta .

Ketika itu saya sudah tidak terfikir lagi tentang kelewatan tiba di tempat kerja . Dalam hati saya remuk dan tak habis-habis menyalahkan diri sendiri . Kalaulah saya tak isi minyak tadi , mungkin saya dapat menyelamatkan anak kucing itu dan mungkin juga anak kucing tersebut tidak akan digilis oleh motosikal tadi .

Air mata saya mencurah-curah tanpa mempedulikan orang ramai yang memperlahankan kenderaan sambil melihat ke arah saya . Ada yang simpati dan ada yang tersenyum memerli .

Saya meletakkan anak kucing tersebut di suatu kawasan berumput di bahu jalan raya . Nafasnya turun naik , hidung dan mulutnya mengalirkan darah . Pilu , hiba sungguh pada pagi itu . Sungguh tidak disangka pada hari itu saya akan mengalirkan air mata dek seekor anak kucing yang cedera . Lantas tanpa berlengah , saya mengangkat anak kucing itu secaraperlahan dan meletakkannya ke dalam kereta .

Sepanjang perjalanan ke Putrajaya , fikiran saya tidak tenang . Saya dilanda rasa bersalah yang teramat sangat dan menyesal kerana terlebih dahulu berhenti untuk mengisi minyak tadi . Perjalanan pagi itu terasa amat jauh sekali . Nafas anak kucing yang saya panggil Adik itu makin lama semakin perlahan . Matanya memandang tepat ke arah saya . Posisi Adik ketika itu di sebelah tempat duduk penumpang .

Air mata saya terus mengalir tanpa henti melihat kesakitan dialami Adik . Kasihan sungguh melihat anak matanya seolah-olah meminta simpati . Tapi apalah daya saya . Saya terus berdoa agar Adik selamat !

Setibanya di tempat kerja , terlebih dahulu saya melaporkan diri di pejabat . Saya tinggalkan tugas saya dan pergi semula ke kereta menjenguk Adik . Seperti yang dijangka , si Adik semakin parah . Saya sempat membersihkan kesan darah kering di mukanya .

Apabila saya tekan di bahagian rusuknya , saya mendapati rusuknya tenggelam sekali gus mengiakan teori saya bahawa Adik telah mengalami kecederaan dalaman yang parah . Barangkali tulang rusuknya remuk dan ini menyukarkannya bernafas .

Saya berada di sisi Adik sehingga nafasnya yang terakhir . Ketika nazak , saya peluk tubuh kecilnya sambil berdoa agar Tuhan mempercepatkan pemergiannya . Akhirnya , Adik pergi dalam keadaan yang menyayat hati setelah bertarung dengan maut dalam tempoh yang agak lama .

Air mata saya jatuh sehingga menitis ke muka Adik . Pada ketika itu , saya langsung tidak terfikir tentang hal kerja . Saya menangis sepuas-puasnya . Saya pergi ke stor dan mencari cangkul serta parang tetapi yang ada cuma tukul besi dan besi paip . Namun saya gagahkan diri menggali tanah .

Tanah itu terlalu keras untuk saya gali , namun oleh kerana perasaan sayang kepada kucing yang mendalam saya gagahkan juga . Kerja-kerja menggali kubur kecil selesai dalam tempoh sejam setengah . Biarpun menitik peluh ditambah lagi dengan cuaca Jumaat yang panas terik , saya merasa puas .

Perlahan-lahan saya mengangkat jasad Adik dan dengan linangan air mata saya kebumikan pada hari Jumaat yang mulia itu . Sebelum dikambus , saya tatap wajah Adik dengan hati yang remuk dan pilu . Bersemadilah wahai Adik nun di syurga .

Sepanjang hari Jumaat itu , fikiran saya amat terganggu . Mata saya bengkak dan kusut , hati pula sentiasa berkata-kata "Kalaulah aku tak isi minyak tadi ..."


Sumber : Mastika

*P/s : Alyn rindu Chiko yang hilang sebulan lebih dah !


2 ulasan:

Assalamualaikum!
Soalan atau komen yang murni je ye.